Selepas dua tahun mengenali hati budi masing-masing, penyanyi Usop Mentor mengikat tali pertunangan dengan model sambilan Nur Fatihah di sebuah dewan berdekatan kediaman perempuan di Butterworth, Pulau Pinang hari ini.
Menurut laporan mStar Online, Usop atau nama sebenarnya Muhammad Saiful Naim bin Muhammad Noor bersyukur apabila majlis berjalan seperti dirancang selain sudah bersedia untuk bergelar suami.
“Sejak semalam saya memikirkan tentang majlis ini, gementar juga… tapi Alhamdulillah syukur semuanya berjalan lancar dan selesai dengan jayanya. Selepas ini saya kena fikir fasal majlis perkahwinan pula.
“InsyaAllah ikut perancangan Februari depan kami akan bernikah… kalau ikutkan saya memang nak cepat-cepat kahwin tapi ada beberapa tugasan dan komitmen kerja yang belum selesai,” kata penyanyi berusia 24 tahun itu.
Bercerita mengenai perkenalan mereka, penyanyi lagu Selamanya itu mengenali gadis berusia 25 tahun tersebut sewaktu menghadiri majlis rumah terbuka sahabatnya pada 2019.
“Saya jumpa dia di majlis rumah terbuka seorang sahabat. Pertama kali tengok dia hati saya dah terpikat… cantik dan tinggi orangnya. Saya minta akaun Instagram dia, masa itu hanya sekadar nak berkawan sahaja.
“Kemudian kami bertukar nombor telefon dan saya luahkan hasrat nak ajak kahwin… sebenarnya saya pun tak sangka hubungan kami sampai ke fasa serius.
“Bulan puasa tahun lalu kami mula serius rancang untuk mendirikan rumah tangga. Dalam tempoh pertunangan ni, orang kata darah manis jadi saya kena banyak bersabar melalui fasa ini,” kongsinya.
Selain itu, Usop juga mengakui tunangnya itu banyak memberikan sokongan termasuk dalam kerjaya, perniagaan dan sebagainya.
“Dia menerima saya seadanya dari zaman tak ada apa-apa sampailah sekarang ini. Dia tak pandang harta, awal perkenalan dulu saya tak ada apa-apa, kereta pun tak ada,” ujarnya.
Sumber: mStar Online (Qarami Hashim) , Instagram mstar Online
GIPHY App Key not set. Please check settings