LANGKAWI – Siasatan awal Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) mendapati peniaga yang tular kerana menjual hidangan ikan siakap lebih RM1,000 tidak melanggar syarat di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011. Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDNHEP Langkawi, Abdul Rafar Wahid berkata, peniaga tersebut telah mempamerkan harga bagi setiap menunya dengan jelas. “Walau bagaimanapun, pihak kami telah mengeluarkan notis di bawah Akta Kawalan Harga Dan Anti Pencatutan 2011 kepada peniaga terbabit “Notis tersebut meminta peniaga untuk melampirkan dokumen sebagai bukti harga yang diletakkan oleh peniaga tersebut adalah munasabah,” katanya ketika dihubungi di sini semalam. Selain itu, kata beliau, pihaknya tidak boleh menetapkan harga bagi peniaga terbabit kerana barangan jualannya tidak tersenarai sebagai barang-barang kawalan di bawah Seksyen 5 Akta Kawalan Bekalan 1961 atau Skim Harga Maksimum Musim Perayaan. Walau bagaimanapun, menurut Abdul Rafar, pihaknya setakat ini hanya menerima satu aduan berkenaan perkara tersebut. Katanya, aduan itu adalah daripada orang awam yang mengetahui perkara tersebut daripada media sosial dan bukan daripada pelanggan itu sendiri. Justeru, beliau meminta pelanggan terlibat untuk tampil dan membuat aduan rasmi kepada KPDNHEP jika berasa ditipu oleh peniaga berkenaan “Aduan daripada pelanggan adalah penting bagi mendapatkan keterangan lanjut untuk memastikan siasatan dapat dilakukan dengan adil dan telus,” tambahnya. Sumbr: https://www.kosmo.com.my/
in Dalam Negara, Terkini
GIPHY App Key not set. Please check settings