Masjid bukan sahaja dikunjungi jemaah untuk menunaikan solat atau menyertai aktiviti keagamaan, malah turut menjadi platform untuk menyalurkan derma.
Sedekah akan menjadi lebih ‘rancak’ ketika solat Jumaat, di mana peti sumbangan disediakan di masjid untuk jemaah menderma.
Kebiasaannya, kutipan derma pada hari berkenaan akan dibuat pengiraan sebaik selesai solat Jumaat, yang dilakukan oleh ahli jawatan kuasa (AJK) masjid.
Seorang anak kepada bekas AJK di sebuah masjid di Besut, Terengganu berkongsi pengalaman membantu bapanya bersama AJK lain mengira duit tabung setiap Jumaat.
Namun, remaja yang hanya mahu dikenali sebagai Aidil berkata, dalam longgokan wang kertas sumbangan jemaah itu terdapat sesuatu yang menarik perhatiannya.
“Setiap Jumaat, saya akan kira duit tabung masjid di kampung saya. Hampir setiap minggu, saya akan jumpa wang kertas RM100 yang dilipat dalam wang kertas RM1 yang digulung.
“Penyumbang itu selalu guna duit kertas lama RM1, mungkin sebab mudah untuk digulung. Hampir setiap Jumaat, pasti ada satu gulungan wang kertas RM1,” katanya sambil menambah tabung itu diletakkan di pintu masuk dewan solat setiap Jumaat.
Aidil yang berusia 17 tahun itu percaya gulungan RM1 yang disimpan RM100 di dalamnya disumbangkan oleh penyumbang yang sama.
“Ayah saya dilantik jadi bendahari masjid sejak awal tahun dan sehingga ke bulan ini (Disember) ini, masih ada gulungan RM1 di dalamnya RM100.
“Ia membuatkan saya tertanya-tanya, dan rupa-rupanya menurut AJK masjid lain ia merupakan perkara yang biasa yang disedari mereka sejak tahun lalu,” katanya.
Walaupun pandemik Covid-19 memberi kesan kepada masyarakat termasuk ekonomi, namun dia beranggapan ia tidak memberi kesan besar kepada penderma misteri itu.
Dia tidak dapat meneka individu di sebalik sumbangan yang caranya begitu konsisten itu.
Aidil berkata, penderma misteri itu berbuat demikian mungkin tidak mahu nilai sumbangannya disedari oleh jemaah lain sehingga boleh menimbulkan buruk sangka.
“Kalau letak RM100 sampai jemaah lain boleh nampak, dikhuatiri akan menimbulkan riyak. Jadi, adalah lebih baik disorokkkan di dalam gulungan RM1.
“Mungkin juga faktor keselamatan supaya tidak mahu orang lain tahu begitu banyak duit derma dalam tabung. Tambahan sekarang ni di sesetengah masjid ada saja kes pecah tabung derma,” katanya sambil menambah bapanya meletakkan jawatan sebagai bendahari masjid tersebut, baru-baru kerana masalah kesihatan.
Selain identiti penderma misteri itu menimbulkan persoalan, ketidakhadirannya ke masjid itu pada Jumaat turut membuatkan ramai gelisah.
“Hampir setiap Jumaat ada gulungan RM1 tu, jadi bila kami kira duit selepas solat Jumaat tetapi tiada duit yang digulung itu, kami jadi hairan.
“Bukan sebab tak ada duit RM100, tapi tentang keadaan penderma berhati mulia itu. Sampai kami bimbang penderma itu adakah dia sakit sebab tak dapat ke masjid.
“Mungkin juga dia solat Jumaat di masjid lain atau ada uruan kerja. Sama juga seperti penderma-penderma lain, kami harapkan penderma misteri ini diberikan kesihatan yang baik dan dimurahkan rezekinya. Terima kasih di atas sumbangan kepada masjid,” katanya.
SUMBER / KREDIT : Mstar
GIPHY App Key not set. Please check settings